YAPEIM Sumbang RM32,600, Beri Manfaat Kepada Pelajar

Seberang Jaya, 29 November 2025 – Seramai 326 pelajar yang dikenal pasti akan menerima manfaat hasil sumbangan bantuan pendidikan berjumlah RM100 setiap seorang yang diserahkan YAPEIM kepada Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.

Majlis serahan cek cura disempurnakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara dalam Program Semarak Nahdah 2025 di Masjid Al-Muhajirin, di sini, malam ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM25,500 disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara manakala baki RM7,100 disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah.

Sejak tahun 1985 sehingga Oktober 2025, YAPEIM telah membelanjakan lebih RM723.3 juta membabitkan 10.1 juta penerima manfaat di seluruh negara. Ini membabitkan tiga teras utama iaitu Pembangunan Ekonomi, Pembangunan Pendidikan dan Pembangunan Kemasyarakatan yang dilakukan secara inklusif dan sistematik.

YAPEIM turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang Tabung Amanah YAPEIM kerana hasil wang infak terkumpul ianya dapat digunakan bagi mewujudkan program-program yang bermanfaat dan disalurkan kepada kumpulan sasar yang memerlukan.